Sebelum pertabalan Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16

Istiadat Melafaz Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong XVI

Pada 31 Januari 2019, Mesyuarat Majlis Raja-raja ke-252 (Khas) diadakan sempena Istiadat Melafaz dan Menandatangani Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong XVI dan diikuti perisytiharan memegang jawatan.

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah bersama Tunku Azizah berangkat tiba pada jam 9.15 pagi dengan menaiki pesawat khas dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Kuantan, Pahang dan mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Baginda berdua disambut oleh Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan Tengku Laksamana Selangor, Tengku Sulaiman Shah sebagai wakil Istana Selangor yag merupakan ketua kepada negeri tempat letaknya KLIA. Istiadat keberangkatan tiba Al-Sultan Abdulllah dan Tunku Azizah turut disambut pasukan Kawalan Kehormat Setempat oleh Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja diketuai Kapten Abdul Munir Mohani@Che Omar dan terdiri daripada dua pegawai dan 26 anggota. Baginda kemudian berangkat ke Dataran Parlimen untuk sambutan rasmi oleh pemimpin negara dan disambut Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan suami, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum berangkat ke Istana Negara.

Di Istana Negara, Al-Sultan Abdullah menerima Kawalan Kehormatan Darjat oleh Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja yang terdiri daripada tiga pegawai dan 31 anggota yang diketuai Mejar Mohd Azwan Ariff Mohd Azawi sebaik kenderaan diraja yang membawa Yang di-Pertuan Agong melintasi pasukan itu ketika menuju Anjung Utama Istana Negara. Serentak itu, Pancaragam Pusat Rejimen Renjer Diraja yang dianggotai seorang pegawai dan 33 anggota dipimpin Mej Abdul Aziz Abdullah memainkan lagu "Negaraku".[1]

Al-Sultan Abdullah kemudian diiringi Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dan Tuan-Tuan Yang Terutama Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri ke Balairung Seri.

Mesyuarat Khas tersebut dipengerusikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. Memulakan istiadat, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Syed Danial Syed Ahmad tampil menyembahkan Surat Sumpah Jawatan kepada Al-Sultan Abdulllah yang kemudiannya melafazkan Sumpah Jawatan sebelum menandatanganinya. Surat Sumpah jawatan itu kemudiannya ditandatangani oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, sebagai saksi. Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja kemudian menyembahkan pula Surat Sumpah Jawatan kepada Sultan Nazrin Muizuddin Shah yang kemudiannya melafazkan sumpah jawatan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong sebelum menandatanganinya. Surat Sumpah Jawatan baginda turut ditandatangani oleh Sultan Mizan dan Tuanku Syed Sirajuddin sebagai saksi.

Acara di Balairong Seri kemudiannya diteruskan dengan istiadat menandatangani perisytiharan memegang jawatan oleh Yang di-Pertuan Agong dan timbalannya.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menghadap dan menyembahkan Surat-surat Perisytiharan memegang jawatan untuk ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong lalu membaca perisytiharan bahawa Al-Sultan Abdulllah secara rasmi menjadi Ketua Negara Malaysia berdasarkan undang-undang dan Perlembagan Persekutuan.[2]

Istiadat itu diakhiri dengan bacaan doa dan sesi bergambar bersama-sama dengan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja serta Tuan-Tuan Yang Terutama Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketus Menteri.

Rujukan

WikiPedia: Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 http://www.bernama.com/bm/news.php?id=1690481 https://www.utusan.com.my/berita/nasional/al-sulta... https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/06... https://www.hmetro.com.my/utama/2019/07/473837/pah... http://www.pelitabrunei.gov.bn/Lists/Berita%202018... https://www.thesundaily.my/style-life/feature/an-i... https://www.utusan.com.my/berita/nasional/persiapa... https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/07... http://www.astroawani.com/berita-malaysia/agongkit... http://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=1751675&f...